Pemuda Umno Wilayah persoal GLC akan bergabung dengan syarikat bukan Bumiputera

Pemuda Umno Wilayah persoal GLC akan bergabung dengan syarikat bukan Bumiputera

Mohamed Nizham Abdullah Hamdi berkata penggabungan itu secara tidak langsung mencalarkan kepentingan Bumiputera dalam GLC.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi (kanan) ketika sidang media di Yayasan Warisan Batu, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mempersoalkan khabar angin mengatakan sebuah entiti berkepentingan Bumiputera akan bergabung dengan syarikat hartanah swasta dikuasai bukan Bumiputera.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamdi berkata, sekiranya benar perkara itu berlaku, secara tidak langsung mencalarkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

“Kita hendak tanya mengenai penggabungan UEM Sunrise Bhd (UEMS) dan Eco World Development Group Bhd (Eco World). Kononnya ia akan berlaku pada bila-bila masa, adakah perkara ini benar,” soalnya dalam sidang media di Yayasan Warisan Batu, hari ini.

Nizham berkata, beliau mengakui penggabungan itu tidak salah di sisi perundangan negara, namun menzahirkan kebimbangannya mengenai kedudukan Bumiputera dalam entiti berkenaan.

“Kita khuatir kerana seolah-olah kerajaan pada hari ini mahu membuat penjualan dan penggabungan besar-besaran seperti jualan murah. Ini merupakan entiti Bumiputera yang harus dijaga.

“Untuk apa penggabungan ini kerana UEM sendiri mendapat dana dari Permodalan Nasional Berhad (PNB). Mungkinkah ada tangan ghaib untuk mereka rampas atau jual sewenang-wenangnya pegangan Bumiputera,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sumber maklumat berkenaan, beliau berkata perkara itu didedahkan sumber dalaman syarikat berkenaan yang khuatir dengan perkara tersebut.

FMT bagaimanapun tidak dapat mengesahkan mengenai penggabungan 2 entiti seperti yang dimaklumkan Nizham dan masih menghubungi UEM bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Nizham berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat sekurang-kurangnya 5 syarikat GLC Bumiputera lain yang berkemungkinan diambil alih.

“Kita akan bongkarkan lebih besar lagi dan kes ekonomi Bumiputera yang cuba untuk dirampas. Pada masa sama juga kita tidak akan tutup dan tunduk. Selepas ini, kita akan buat laporan polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.