
Setiausaha Agung Annuar Musa dalam satu hantaran Facebook berkata, kedua-dua parti perlu memulakan libat urus dengan pihak berkenaan bagi membentuk muafakat kebangsaan yang lebih inklusif dan lebih besar.
“Dengan termeterainya piagam muafakat antara kedua parti (pada) 14 September ini, bermulalah satu tempoh yang amat berat bagi Umno dan PAS.
“Untuk berganding bahu berkongsi pengalaman dan sumber bagi menyusun atur satu jalan penyelesaian terbaik demi rakyat berbilang bangsa di Malaysia,” tulisnya.
Umno dan PAS, parti Islam dan Melayu terbesar itu akan mengadakan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 13 dan 14 September ini bagi menggembleng kekuatan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional menuju pilihan raya umum ke-15.
Tambah Annuar, andaian segelintir pihak bahawa piagam PAS-Umno yang dibentuk hanya berkisarkan tentang pilihan raya adalah salah.
Sebaliknya, katanya, kerjasama itu akan menjadi platform dan jalan penyelesaian bagi mengatasi segala kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ini katanya, termasuklah tatakelola kerajaan, transformasi politik, ekonomi dan sosial, memurnikan domokrasi, membanteras salah guna kuasa politik dan memperkasa hak Bumiputera.
“Serta menyelesaikan saki baki, harapan dan janji palsu PH dan banyak lagi,” katanya.