Suhakam bimbang pengikut Syiah diserbu, ditahan

Suhakam bimbang pengikut Syiah diserbu, ditahan

Badan hak asasi itu menegaskan hak untuk mengamalkan apa-apa agama perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyuarakan kebimbangan berhubung serbuan terhadap pengikut Syiah di Selangor dan Johor kebelakangan ini, termasuk yang terbaru semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Suhakam turut mempersoalkan tangkapan yang dibuat termasuk ke atas membabitkan kanak-kanak.

“Suhakam ingin mengingatkan semua pihak bahawa hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh mengakui bahawa kita sebenar-benarnya merupakan negara yang mempunyai pelbagai kebudayaan melainkan pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil menghormati dan bertolak ansur amalan agama setiap individu.”

Sehubungan itu, Suhakam berharap agar tali persaudaraan dan belas kasihan akan menjadi dasar yang menjadi asas pengukuhan masyarakat, bukan naluri yang memberi reaksi kebencian dan layanan buruk terhadap orang lain kerana perbezaan mereka.

“Hak untuk mengamalkan apa-apa agama perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan,” kata Suhakam.

Suhakam juga menyatakan kesedian untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara dan berharap agar kerajaan akan mengambil tindakan yang adil serta langkah-langkah membina ke arah menyediakan hak yang saksama kepada semua kumpulan agama di Malaysia.

Beberapa serbuan terhadap acara penganut aliran Syiah dibuat menjelang Hari Ashura yang jatuh pada 10 September.

Di kalangan Syiah, hari itu disambut antara lain bagi upacara memperingati ulang tahun kematian Hussein, cucu Nabi Muhammad.

Di Gombak, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah rumah kedai yang disyaki menjadi tempat berkumpul penganut Syiah bagi menyambut hari tersebut manakala di Bandar Sunway, Selangor, pihak berkuasa Islam Selangor menyerbu acara tertutup yang dihadiri penganut Islam Pakistan, dilihat sebagai tindakan keras berterusan terhadap pengikut Syiah.

Malam tadi, Jabatan Agama Islam Johor dan polis Johor menyerbu satu acara tertutup Syiah di Kempas dan difahamkan 8 orang ditahan, termasuk seorang warga Yaman dan 2 warga Singapura.

Sebelum ini dilaporkan kedutaan Iran di Kuala Lumpur terpaksa campur tangan selepas seorang wanita negara itu ditahan apabila rumahnya di Ampang diserbu Jais semasa upacara tertutup memperingati Hari Asyura.

Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Tetapi pihak berkuasa Islam negeri di Malaysia mengisytiharkan ajarannya sebagai “menyimpang” dengan khutbah di Selangor sering melabel pengikutnya sebagai sesat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.