Serbuan anti-Syiah mungkin ganggu lawatan Dr M ke Iran

Serbuan anti-Syiah mungkin ganggu lawatan Dr M ke Iran

FMT difahamkan seorang pegawai diplomatik Iran terpaksa campurtangan selepas pihak berkuasa agama Selangor menahan seorang wanita warga Iran.

Tangkap layar klip video serbuan di sebuah rumah di Ampang pada 4 Sept. Pihak berkuasa agama Selangor memanggil wanita Iran itu kerana ‘menghina pihak berkuasa agama’.
KUALA LUMPUR:
Salah satu daripada beberapa serbuan terhadap acara tertutup pengikut ajaran Syiah oleh pihak berkuasa agama Islam Selangor nampaknya menimbulkan masalah diplomatik, apabila Tehran didesak supaya membantah apa yang dikatakan pencabulan hak beragama warga Iran di Malaysia.

FMT difahamkan rumah seorang warga Iran di Ampang diserbu pada 4 Sept lepas, 2 hari sebelum sebuah pusat kegiatan Syiah di Gombak diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyaksikan 23 orang termasuk wanita dan kanak-kanak ditangkap kerana menyalahi enakmen yang melarang amalan ajaran Syiah.

Sumber yang dekat dengan kalangan diplomasi memberitahu FMT kejadian di Ampang itu mungkin akan menganggu lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke Iran bulan depan, yang diterima baik di Iran kerana kenyataan-kenyataan terbukanya menghentam Barat dan Washington, musuh tradisi republik Islam itu.

Pertanyaan yang diajukan ke Kedutaan Iran di Kuala Lumpur tidak djawab, petunjuk bahawa negara itu amat berhati-hati agar tidak dituduh cuba mencampuri hal ehwal dalam negara.

Serbuan itu sebahagian daripada tindakan tahunan terhadap pengikut ajaran Syiah sempena majlis pengkabungan 10 Muharram, atau Hari Asyura.

Orang Islam Syiah seluruh dunia mengisi minggu menuju hari itu, yang jatuh pada 9 September tahun ini, dengan acara-acara memperingati ulangtahun kematian cucu Nabi Muhammad, Hussein, watak penting dalam Syiah.

Pihak berkuasa agama di Malaysia sejak sekian lama menguatkuasakan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah sebagai “sesat”, melancarkan serbuan yang menyasarkan warga tempatan.

Namun jurucakap komuniti Syiah yang kecil itu berkata sejak beberapa tahun ini pihak berkuasa semakin berani terhadap warga asing yang menganut ajaran Syiah, fahaman Islam kedua terbesar yang mempunyai banyak pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

“Ini serbuan anti-Syiah kedua melibatkan warga asing dalam 2 tahun ini, dan satu pencabulan terhadap hak mereka mengamalkan kepercayaan mereka,” kata jurucakap itu, yang minta tidak dinamakan kerana bimbang dipantau pihak berkuasa.

Dalam serbuan 4 Sept itu, difahamkan pihak berkuasa menahan seorang wanita warga Iran yang dipercayai menganjurkan majlis tertutup itu. Dia kemudian dipanggil oleh Jais untuk disoal pada 19 Sept, dan dituduh “menghina pihak berkuasa agama”.

FMT difahamkan dia dibebaskan dari tahanan susulan campurtangan pegawai kedutaan Iran.

Pada 2017, pihak berkuasa menangkap ramai pelajar Iraq di Serdang, Selangor yang menyertai acara 10 Muharram; mereka dibebaskan susulan campurtangan kedutaan Iraq.

Penahanan mereka dibantah Baghdad, yang berkata ia tidak akan bertolak ansur dengan tindakan pihak berkuasa Malaysia menahan warganya, dan memberi amaran tindakan itu menjejaskan hubungan dua hala.

Warga asing yang menganut ajaran Syiah di Malaysia semakin terhalang dalam mengamalkan kepercayaan mereka, walapun pada 2013, menteri hal ehwal Islam ketika itu memberi jaminan pengikut Syiah boleh mengamalkan kepercayaan mereka selagi tidak menyebarkannya kepada orang lain.

Menteri itu, Jamil Khir Baharom dilapor berkata: “Kita tidak pernah kacau orang Syiah. Tetapi di Malaysia, orang Malaysia yang sudah beragama Islam, tidak boleh dikembangkan ajaran itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.