
Presiden Patriot Arshad Raji berkata, anggota Kabinet didapati teragak-agak untuk bertindak dan menunggu arahan daripada perdana menteri.
“Mereka seolah-olah tidak mampu berfikir atau tidak mempunyai sebarang pendirian,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kerajaan bersetuju bahawa gesaan ‘memboikot’ produk keluaran bukan Islam adalah tidak wajar dan boleh menggugat keharmonian negara.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kabinet menolak pandangan sempit berdasarkan sentimen kaum sedemikian, sebaliknya menggesa rakyat menyokong produk keluaran tempatan untuk kebaikan negara.
Sebelum itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak kempen berkenaan dan menggesa ia dihentikan kerana ia tidak berkesan dan boleh menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.
Beliau mengkritik golongan “berfikiran sempit” yang mendalangi kempen tersebut.
Arshad berkata, pihaknya sering mengingatkan rakyat tentang kepentingan mereka berfikir sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.
Katanya, kempen ‘boikot’ itu akan gagal dan menggesa pihak yang menganjurkannya supaya menghentikan langkah itu.
“Seruan yang dibuat adalah seruan yang pandir, kurang matang, memecah-belahkan rakyat dan menghindar kemajuan ekonomi negara,” katanya.