Bot dilanggar kapal dagang, 2 nelayan hilang

Bot dilanggar kapal dagang, 2 nelayan hilang

Insiden bot nelayan tempatan dilanggar sebuah kapal dagang berlaku pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey, awal pagi tadi.

Jabatan Maritim Negeri mengaktifkan operasi carilamat pada jam 9.30 pagi tadi dan pangkalan hadapan carilamat diwujudkan di jeti nelayan Sungai Ayer Hitam, Kuala Langat. (Gambar Facebook)
PELABUHAN KLANG:
Seorang tekong warga tempatan dan seorang awak-awak warga Myanmar, hilang, selepas bot nelayan mereka dilanggar sebuah kapal dagang pada 2.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Mohammad Rosli Kassim berkata, bot nelayan kelas C itu dilanggar pada jarak 8.3 batu nautika dari selatan Pulau Carey, dan 11.5 batu nautika dari barat Tanjung Gabang.

“Seorang tekong warga tempatan dan tiga orang awak-awak warga Myanmar, keluar ke laut pada pukul 10.00 malam semalam untuk menangkap ikan.

“Ketika sedang menangkap ikan, berlaku pelanggaran di antara bot dan kapal dagang yang menyebabkan bot berkenaan mengalami kebocoran dan nyaris tenggelam, manakala kesemua mereka tercampak ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, 2 awak-awak kemudian diselamatkan rakan nelayan lain, manakala bot nelayan tersebut ditunda ke Jeti Pulau Ketam.

Mohammad Rosli berkata, sebuah aset udara maritim dikerah ke lokasi kejadian dan dibantu bot peronda pasukan polis marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, bagi membantu pencarian 2 mangsa yang hilang.

“Operasi Carilamat diaktifkan pada jam 9.30 pagi tadi, dan pangkalan hadapan carilamat (PHC) diwujudkan di jeti nelayan Sungai Ayer Hitam, Kuala Langat.

Pencarian kedua-dua mangsa yang hilang akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.