
Dalam ucapan yang bersahaja, Sultan Abdullah berharap kerajaan dapat memperhalusi serta memperkemas kaedah membantu masyarakat Orang Asli supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan dalam jangka masa panjang.
“Dulu kerajaan ada konsep Felda yang banyak memberi manfaat dan menolong orang susah. Saya harap konsep ini dapat diperkemas, diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum Orang Asli serta masyarakat miskin supaya diadakan sumber jangka panjang untuk anak cucu mereka,” katanya.
“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan dibincangkan untuk kaji semula kerana saya minta setiap rakyat dibela dan diberi peluang tambah pendapatan dan kekayaan.”
Selain itu, Sultan Abdullah menyeru masyarakat Orang Asli supaya memaklumkan kepada kerajaan sebarang keperluan mereka agar penyediaan serta penyaluran bantuan yang ada dapat dikemas.
“Bukan kerajaan tak sediakan, tetapi ada Orang Asli sendiri yang tidak mahu berhijrah, mereka lebih suka dan selesa tinggal bersama dengan kaum dia, di tempat dia,” katanya.
Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk Sungai Ruil, yang kini mendiami rumah baru dan moden, supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit terutama melibatkan kanak-kanak.
“Macam mana keadaan rumah? Bagus? Semua keluarga jaga rumah dengan elok,” katanya secara bersahaja kepada penduduk yang hadir.
Projek penempatan semula masyarakat Orang Asli Sungai Ruil mempunyai 152 unit rumah yang dibina susulan tanah runtuh pada 7 Ogos 2011 dan mula diduduki pada Mei 2016.
Sultan Abdullah juga mahu penduduk pelbagai kaum dan agama di sini mengetepikan perbezaan politik serta menyelesaikan sebarang permasalahan dengan sebaik-baiknya demi memastikan kehidupan yang penuh muafakat, aman dan harmoni.
Bercakap kepada Bernama kemudiannya, Agong memaklumkan masyarakat Orang Asli sangat dekat di hatinya.
“Orang kita dekat dengan saya sejak generasi ke generasi. Dulu selalu ke istana, bawa madu lebah. Sekarang kurang sikit, mungkin orang dulu dah tua, mereka pun banyak pindah duduk ke kawasan moden,” katanya.
“Saya selaku pewaris tentunya terima amanah (menjaga Orang Asli) dengan penuh tanggungjawab sebab itu saya harap bila ada sedikit selisih faham, selesai secara peribadi supaya tidak perlu berterusan perkara itu.”
Pada kunjungan itu, Agong turut menyampaikan sumbangan kepada ketua isi rumah perkampungan Sungai Ruil dan meninjau rumah penduduk.