58 kesatuan, NGO gesa meterai konvensyen lindung hak pekerja berpersatuan

58 kesatuan, NGO gesa meterai konvensyen lindung hak pekerja berpersatuan

Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh berkata Konvensyen 87 ILO selari dengan usaha kerajaan meningkatkan kebajikan buruh.

Dari kiri, Pengarah Eksekutif Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Irene Xavier; Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Perkayuan Semenanjung Malaysia, Nor Azlan Yaacob; Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, N Gopal Krishnan; Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Logam, G Rajasekaran; dan Setiausaha Agung Kesatuan Percantuman Pekerja-pekerja TNB, Dzulkernain Hassan.
PETALING JAYA:
Kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan memeterai Konvensyen 87 (C87) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) walaupun Kementerian Sumber Manusia mendakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak pemeterian konvensyen itu yang membenarkan dan melindungi hak pekerja berpersatuan.

Gabungan Reformasi Undang-undang Buruh (LLRC), yang dianggotai 58 pertubuhan termasuk kesatuan sekerja, jaringan kumpulan wanita, persatuan pekerja domestik dan asing berkata, pemeteraian C87 selari dengan usaha kerajaan meningkatkan kebajikan buruh, dan memenuhi janji Pakatan Harapan melindungi hak pekerja setanding piawaian antarabangsa.

Ia juga akan menunjukkan komitmen negara pada kempen menggesa semua negara anggota ILO, termasuk Malaysia, memeterai sekurang-kurangnya 1 konvensyen buruh pada 2019.

“Semua negara anggota ILO diwajibkan untuk bersungguh-sungguh dalam merealisasikan standard asas yang ditetapkan dalam Deklarasi ILO mengenai Prinsip-prinsip dan Hak-hak Asasi di Tempat Kerja (1998),” kata Pengerusi LLRC, N Gopal Kisham pada sidang media di Hotel Crystal Crown hari ini.

Pada Jun, kementerian dilapor berkata MTUC menolak prinsip asas C87 kerana mendakwa ia membawa kepada perpecahan kesatuan di tempat kerja. MTUC bagaimanapun berkata dakwaan itu sebagai mengelirukan dan memburukkan nama baiknya.

MTUC dalam respon balasnya berkata kebebasan menyertai kesatuan itu salah satu daripada peruntukan dalam konvensyen itu, dan kerajaan hanya melaksanakan peruntukan-peruntukan yang difikirkan sesuai dalam konvensyen-konvensyen antarabangsa yang dimeterainya.

Terdahulu, lebih kurang 90 peserta termasuk ahli Parlimen, wakil persatuan dan aktivis menyertai simposium LLRC tentang kebebasan berpersatuan.

Gopal berkata Malaysia harus menghormati prinsip Deklarasi Philadelphia 1944 ILO yang menekankan semula matlamat asas pertubuhan itu mengenai hak pekerja bersuara dan berpersatuan.

“Kami menegaskan tidak ada sebab bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mengabaikan jaminan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpesatuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.