Perintah berkurung di perairan 7 daerah di Sabah dilanjut ke 23 Sept

Perintah berkurung di perairan 7 daerah di Sabah dilanjut ke 23 Sept

Perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Perintah berkurung di ESSZone bertujuan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot, selain menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pengusaha chalet dan nelayan di kawasan terbabit.
KOTA KINABALU:
Perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini akan dilanjutkan hingga 23 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan semalam berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, dengan berkuatkuasanya perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.