Putrajaya akan keluar pas khas bagi warga asing berdokumen di Sabah

Putrajaya akan keluar pas khas bagi warga asing berdokumen di Sabah

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkatak, Pas Sementara Sabah akan dikeluarkan kepada semua pemegang IMM13, kad burung-burung dan sijil banci.

Muhyiddin Yassin (tengah, duduk) bersama Ketua Menteri, Shafie Apdal (kanan) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Kerajaan akan mengeluarkan pas khas baru dikenali sebagai Pas Sementara Sabah kepada pendatang asing yang berdokumen di Sabah dalam usaha memperkemaskan proses pemantauan dan penguatkuasaan.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, badan penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen ketika ini berdepan kesukaran dalam menguatkuasakan undang-undang kerana pelbagai dokumen yang dipegang pendatang asing di Sabah.

Dokumen pengenalan itu termasuk IMM13 yang dikeluarkan kepada pelarian, kad burung-burung yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri dan sijil banci.

“Kadangkala sukar menentukan sama ada dokumen ini dikeluarkan secara sah.

“Oleh itu, dalam mesyuarat hari ini, kami menentukan untuk mengeluarkan Pas Sementara Sabah kepada semua pemegang IMM13, kad burung-burung dan sijil banci.

“Projek itu akan dilaksanakan mulai 1 Jun tahun depan. Mulai hari ini, kami akan mengambil langkah yang diperlukan untuk melaksanakan program itu. Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah badan khas untuk mengendalikan perkara ini.

“Tiga jenis dokumen itu akan ditarik balik dan pemegang akan diberikan pas khas yang baru,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing (JKPWS) di Sabah hari ini.

Muhyiddin berkata, pas itu ialah kad pintar dilengkapi ciri keselamatan khas, termasuk biometrik, gambar dan cap jari pemegang.

Setiap kad berharga RM120 dan ia boleh diperbaharui setiap 3 tahun.

Katanya, harga itu jauh lebih murah daripada dokumen bentuk lain yang kini dikeluarkan kerajaan.

Ketika ini, dianggarkan kira-kira 600,000 individu memegang 3 dokumen itu daripada 1.1 juta pendatang asing yang menetap di Sabah.

Mengulas apa yang akan berlaku kepada pemegang pas ini pada masa depan kerana ramai daripada mereka sudah lama tinggal di Sabah, Muhyiddin berkata, terlalu awal untuk meramalkannya kerana ada beberapa isu yang perlu dipertimbangkan seperti Akta Imigresen, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendaftaran Negara.

“Keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap mereka akan dibuat pada masa depan.”

Beliau memberi amaran pemilikan pas sementara itu tidak bermakna pemegang boleh bertindak sesuka hati kerana mereka akan tertakluk kepada undang-undang di Malaysia.

Katanya, jabatan berkaitan mempunyai hak untuk menilai dan menentukan sama ada mahu memperbaharui pas itu selepas 3 tahun dengan mempertimbangkan rekod pemegang pas terbabit.

Untuk baki 500,000 pendatang asing, Muhyiddin berkata, ramai daripada mereka memasuki Sabah menggunakan pasport dan bekerja dalam pelbagai bidang, termasuk perladangan.

Sejak 1990, katanya, kerajaan menghantar 586,367 pendatang asing tanpa izin ke negara asal mereka dan tahun ini saja seramai 8,343 individu sudah diusir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.