
Kumpulan itu turut mengutuk tindakan Perdana Menteri India, Narendra Modi membatalkan status istimewa Kashmir dan memperketatkan kawalan keselamatan di sebahagian besar wilayah bergolak itu dengan menghantar ribuan tentera ke sana.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Mohamad Raimi Ab Rahim menyifatkan penguasaan New Delhi ke atas Kashmir sebagai satu bentuk pencabulan hak asasi manusia.
“Kita menentang keras tindakan kerajaan India memasuki secara tidak sah dengan menghantar tentera, melakukan penculikan, penangkapan serta sekatan komunikasi terhadap umat Islam di Kashmir.”
Beliau berkata demikian dalam sidang media susulan himpunan yang bermula selepas solat Jumaat itu, berakhir sejam kemudian di Masjid Negara hari ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Azmin Abdul Hamid menggesa Dr Mahathir Mohamad mengutuk tindakan New Delhi mencabuli hak asasi penduduk Kashmir dan menyuarakan bantahan itu kepada Modi menerusi persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau bimbang peperangan akan tercetus antara India dan Pakistan yang memiliki senjata nuklear, jika tindakan lambat diambil.
“Kita minta PBB segera campur tangan…Sekarang masanya selepas hampir 70 tahun penaklukan tentera India di kawasan itu secara haram, PBB kena bertindak hantar tentera pengaman.”
Beliau turut menyeru semua 222 ahli Parlimen di Malaysia mengikut jejak wakil rakyat United Kingdom untuk mengutuk tindakan India.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia, Mohd Razali Maarof mengutuk India gagal menyelesaikan isu Kashmir yang berlarutan selama berpuluh tahun.
“Di bawah pemerintahan India, apa jadi rakyat Islam kita di Kashmir? Apakah mereka baca laporan hak asasi hampir 100,000 umat Islam dibunuh, ratusan ribu umat Islam di sana menjadi yatim piatu dan janda?” soalnya.
Pada 5 Ogos lalu, New Delhi menerusi dekri presiden memansuhkan status istimewa di wilayah Jammu dan Kashmir.
Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi turut mengusulkan rang undang-undang membahagikan wilayah itu kepada 2 kawasan yang akan diperintah secara langsung oleh India.
Jammu dan Kashmir di rantau Himalaya yang majoriti penduduknya Islam, terbahagi kepada dua dengan masing-masing dikuasai India dan Pakistan. Kedua-dua pihak menuntut mahu menguasai sepenuhnya 2 wilayah itu.
Sejak 1947, kedua-dua negara berperang sebanyak 3 kali, iaitu pada 1948, 1965 dan 1971 – 2 daripadanya untuk menguasai Kashmir.