Mayat CEO Cradle Fund ditemui di penjuru katil, berdarah, kata saksi

Mayat CEO Cradle Fund ditemui di penjuru katil, berdarah, kata saksi

Koperal Nazrin Zakaria lihat darah yang masih basah di bawah mayat dan sekitar mayat tersebut, tetapi tidak pasti sama ada darah masih mengalir atau tidak.

Samirah Muzaffar (tudung hitam) di mahkamah hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, mayat ketua pegawai eksekutif Cradle Fund, ditemui di bahagian penjuru katil dalam sebuah bilik yang terbakar di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, 14 Jun tahun lepas.

Saksi kedua dalam prosiding perbicaraan kes kematian Nazrin Hassan, Koperal Nazrin Zakaria, 39, berkata ketika tiba di tempat kejadian kira-kira 3 petang pada hari itu, beliau turut mendapati dinding bilik tidur utama rumah tersebut berwarna hitam akibat kebakaran berkenaan.

Jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu turut melihat darah di bawah dan sekeliling mayat tersebut.

“Bilik itu terbakar sepenuhnya dan saya lihat mayat ada terbaring di lantai di penjuru katil.

“Saya juga lihat darah yang masih basah di bawah mayat dan sekitar mayat tersebut tetapi tidak pasti sama ada darah masih mengalir atau tidak,” katanya ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes tersebut di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Beliau berkata demikian ketika disoal ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah berhubung keadaan mayat mangsa ketika Nazri ditugaskan mengambil gambar lokasi kejadian berkenaan.

Selain Nazrin, 2 lagi anggota polis turut dipanggil sebagai saksi pada hari pertama prosiding perbicaraan kes itu.

Mereka ialah Koperal Jumardi Mursalim, 34, dan Mahadin Bakar, 42, yang mana kedua mereka juga merupakan jurugambar di IPD Petaling Jaya.

Terdahulu, mahkamah diberitahu, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Nazrin dibunuh dan bukan disebabkan kebakaran.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan akan membuktikan Nazrin, 47, dibunuh antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018 di dalam bilik tidur utama kediaman itu.

Pada 12 Mac lepas, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan 2 remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan

Perbicaraan disambung Jumaat depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.