
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata, ini bagi memastikan dalam jangka panjang rakyat Malaysia memperoleh keuntungan yang saksama daripadanya.
Selain itu kata beliau, terdapat banyak syarikat tempatan yang bersedia untuk mengambil bahagian dalam projek mega.
“Sebelum ini, syarikat China membawa tenaga kerja dan bahan binaan mereka sediri. Perolehannya dibawa balik ke negara mereka.
“Itu tidak adil kepada kita orang tempatan kerana kita yang berikan projek tersebut kepada mereka. Sebaliknya mereka membawa balik keuntungan yang diperolehi.
“Dengan melibatkan rakyat Malaysia, anda berkongsi kekayaan dengan mewujudkan pekerjaan dan menghasilkan kekayaan yang saksama untuk orang tempatan.
“Kami menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya menekankan lebih banyak penglibatan rakyat Malaysia dalam projek infrastruktur China,” katanya selepas merasmikan makan malam ulang tahun ke-50 FMM Pulau Pinang di sebuah hotel di sini malam tadi.
Pada masa ini, projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan terowong dasar laut Pulau Pinang serta 3 lebuh rayanya melibatkan syarikat dari China, walaupun projek terowong dan lebuh raya berkaitan menyaksikan lebih banyak penglibatan tempatan.
Tahun lepas, dilaporkan syarikat China yang terbabit dengan projek ECRL bernilai RM44 bilion tidak dikehendaki menggunakan syarikat tempatan bagi menjalankan kerja-kerja terbabit di sini.
Ini kerana tiada peruntukan untuk mereka berbuat demikian dalam kontrak yang ditandatangani dengan kontraktor utama projek itu, iaitu syarikat milik kerajaan China, China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Kerajaan sebelum ini berkata, ia tidak akan memaksa syarikat China berkenaan mengambil pekerja atau menggunakan bahan mentah tempatan kerana ia bertentangan dengan ketetapan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Bagaimanapun dilaporkan wujudnya persefahaman antara CCCC dengan kerajaan bahawa sekurang-kurangnya 30% ke 40% kontrak ECRL akan diberikan kepada syarikat Malaysia, walaupun ia tidak ditetapkan secara hitam-putih.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata, di bawah perjanjian baru, projek ECRL akan memberikan skop penglibatan lebih luas kepada syarikat tempatan.
Perjanjian baru itu juga menyaksikan nilai kontrak projek dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion dengan laluannya dipendekkan sebanyak 40km, kepada 648km daripada 688km.
Ia akan bermula di Kota Bahru, dan melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi, Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang.