
Beliau berkata 6 sekeluarga termasuk 4 kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa Turki dengan urusan penghantaran pulang diaturkan pihak Kedutaan Besar Turki di Kuala Lumpur menaiki penerbangan biasa.
“Saya yakin mereka akan mendapat keadilan di bawah sistem perundangan di negara itu apabila diserahkan untuk menjalani proses undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam polis menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.
Turut hadir Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
Hamid menegaskan, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menghantar pulang seseorang ke negara asal jika tidak mempunyai bukti kukuh bahawa mereka terlibat dengan kegiatan keganasan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima daripada Turki, guru berkenaan Arif Komis, 43, terlibat dalam satu kumpulan yang dikatakan menganjurkan kekerasan dan melancarkan rampasan kuasa berdarah sehingga menyebabkan 200 kematian orang.
Dalam pada itu, Hamid meminta Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) supaya tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap PDRM mengenai kes itu.

“Kalau tidak puas hati lagi mereka boleh datang ke pejabat saya dan saya boleh menjelaskan sebabnya kepada mereka.
“Saya yakin dia akan mendapat pembelaan dari segi undang-undang dan hak dia di sana. Kita memang diberi asas-asas apabila berkaitan dengan keganasan, kita beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata polis mempunyai asas yang kukuh untuk menghantar pulang guru itu dan keluarganya itu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas.
Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Malaysia akan mengusir Komis, 43, isteri dan anak-anak mereka atas dakwaan terbabit dalam satu gerakan yang dilabelkan Ankara sebagai “pengganas”, walaupun selepas mereka diberi perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Difahamkan Komis terdedah kepada bahaya jika dipulangkan ke negara asalnya.