Penyokong Malaysia disambut hujan batu di stadium Jakarta

Penyokong Malaysia disambut hujan batu di stadium Jakarta

Insiden itu berlaku ketika mereka ingin memasuki Stadium Utama Gelora Bung Karno bagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang skuad Indonesia malam ini.

Pihak berkuasa mengadakan keselamatan ketat di luar Stadium Utama Gelora Bung Karno bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
PETALING JAYA:
Penyokong Malaysia disambut dengan “hujan batu” serta jeritan oleh penyokong Indonesia, hari ini.

Insiden itu berlaku ketika penyokong Malaysia ingin memasuki Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta bagi memberi sokongan kepada anak buah Tan Cheng Hoe bagi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang skuad Indonesia yang membuka tirainya malam ini.

Menerusi video yang dimuat naik menerusi Twitter Vocketfc, beberapa penyokong Malaysia memaklumkan keadaan di luar stadium tidak terkawal sejak kumpulan itu tiba kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun menerusi maklumat yang dihantar seperti dilapor Vocketfc, keadaan di dalam stadium terkawal dan tidak berlaku sebarang kekecohan.

“Keadaan dalam stadium selamat,” kata beberapa penyokong Malaysia menerusi Twitter sambil memaklumkan tiada kecederaan berlaku.

Difahamkan pihak berkuasa membuat kawalan keselamatan yang ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia yang sering kali “panas”, antaranya insiden pada final pertama Piala AFF 2010 yang menyaksikan pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium dan pulang ke hotel, selain insiden sama berulang pada Sukan SEA 2011.

Malah, pada aksi Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) pada 2018, pemain negara diserang penyokong tuan rumah yang membaling botol minuman dan batu selepas mereka tewas 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, insiden lalu jelas memberi pengajaran kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan Setiausaha Agungnya, Ratu Tisha Destria memberi jaminan keselamatan kepada pasukan negara yang akan mendapat sambutan baik untuk mengharungi perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno.

FMT sedang mendapatkan FAM untuk maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.