
Amhari Efendi Nazaruddin berkata beliau difahamkan arahan yang diberikan kepadanya dan Azlin Alias untuk membuka akaun di Bank BSI, Singapura adalah dengan “restu” Najib.
Azlin adalah setiausaha sulit Najib sehingga beliau meninggal dunia pada 2015.
Amhari juga berkata ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, memberitahu mereka untuk membuka akaun itu pada 2012.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian bertanya Amhari jika beliau meminta penjelasan daripada Najib berhubung arahan Low untuk membuka akaun bank.
“Saya bersama Azlin pada masa itu dan saya ikut arahannya.
“Saya hanya pegawai bawahan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu,” jawab Amhari.
Amhari sebelum ini memberitahu mahkamah beliau terkejut mendapat tahu lebih AS$800,000 dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI tanpa pengetahuannya.
Beliau semalam berkata Bank BSI di Switzerland memaklumkan kepadanya bahawa beliau perlu memindahkan wang keluar dari BSI dan Jho Low kemudian memberitahunya untuk membuka akaun di Bank Kasikorn.
Amhari berkata hari ini, beliau tidak memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai rancangan untuk membuka akaun di Bank BSI Singapura.
“Saya tidak pasti jika Azlin memaklumkan bank pusat mengenai perkara ini,” katanya.
Apabila ditanya Shafee sama ada wang itu masih disimpan di Bank Kasikorn di Bangkok, Amhari berkata Bank BSI menahan AS$800,000.
“Seorang pegawai beritahu saya melalui telefon bahawa wang itu disekat sementara dan mereka tidak boleh mengikut arahan saya untuk memindahkan wang itu ke bank Thailand.”
Katanya, beliau tidak menerima apa-apa notis daripada pihak berkuasa untuk membekukan akaun Bank BSI Singapura.
Amhari juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasatnya berhubung akaun bank Singapura ketika ditahan SPRM tahun lalu.
“Mereka beritahu saya ia merupakan subjek siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan,” katanya.
Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa atas berhubung dana 1MDB yang berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.