Malaysia bangkit kalahkan Indonesia 3-2 dalam kelayakan Piala Dunia

Malaysia bangkit kalahkan Indonesia 3-2 dalam kelayakan Piala Dunia

Mohamadou Sumareh menjaring 2 gol, manakala satu lagi disumbangkan Syafiq Ahmad.

Mohamadou Sumareh (kanan) diasak pemain Indonesia dalam aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G kelayakan Piala Dunia yang membuka tirai di Jakarta malam ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Malaysia bangkit menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta, malam ini.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe pada awalnya ketinggalan 0-1 apabila penyerang Indonesia, Beto Goncalves menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12 serta gol kedua pada minit ke-39.

Ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama, skuad Harimau Malaya memulakan aksi lebih garang sebaik babak kedua bemula.

Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan pada minit ke-66, sementara Mohamadou Sumareh yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-37, menjadi wira dengan menyumbat gol kemenangan pada minit ke-97.

Kemenangan malam ini menamatkan kemarau 15 tahun skuad negara di stadium Jakarta itu, selepas skuad Harimau Malaya menundukkan Indonesia 2-1 di peringkat separuh akhir Piala AFF pada 28 Disember 2004.

Malaysia kini mendahului Kumpulan G dengan 3 mata, meninggalkan Thailand dan Vietnam yang memperolehi 1 mata serta Emiriyah Arab Bersatu dan Indonesia yang belum meraih sebarang mata.

Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, penyokong Malaysia disambut “hujan batu” serta laungan penyokong Indonesia ketika mereka hendak memasuki stadium untuk memberi sokongan kepada skuad negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.