Kami belum ambil tindakan ke atas Farhash, kata setiausaha agung PKR

Kami belum ambil tindakan ke atas Farhash, kata setiausaha agung PKR

Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR tidak akan campur tangan dalam kes yang di bawah bidang kuasa polis.

Farhash Wafa Salvador dikehendaki polis untuk membantu siasatan satu pergaduhan di Kompleks Sukan Arena All Stars di Ampang, Sabtu lalu.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata belum ada tindakan disiplin dikenakan terhadap setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador, yang dikehendaki polis untuk membantu siasatan satu pergaduhan di sebuah kompleks sukan Sabtu lalu.

“Pendirian kami adalah sama. Apa saja perkara yang dalam bidang kuasa polis, kami biarkan ia kepada penyiasat.

“Belum ada sebarang tindakan diambil parti ke atas perkara itu,” katanya selepas menyampaikan ucapan penutup di sebuah forum anti-rasuah anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) petang ini.

Pergaduhan itu membabitkan kira-kira 12 lelaki di Kompleks Sukan Arena All Stars di Taman Dagang Permai, Ampang.

Farhash yang menafikan terbabit dalam pergaduhan itu, berkata beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis, jika perlu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, polis gagal mengesan Farhash.

Polis berkata, 3 suspek yang merupakan jurulatih Muay Thai sudah menyerah diri untuk disoal siasat.

Sementara itu, Saifuddin berkata, tindakan disiplin terhadap ahli parti itu yang disiasat polis akan ditangani secara berasingan.

Katanya, dahulu, PKR akan mengambil tindakan atau membuat keputusan selepas individu itu didakwa, disabitkan bersalah atau proses rayuan sudah selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.