
Zainnal Ajamain berkata, jika kerajaan persektuan tidak memainkan peranannya dengan baik, peralihan ekonomi akan berlaku di Sabah dan Sarawak yang lebih menguntungkan Kalimantan Timur daripada Putrajaya.
“Sebaik sahaja peralihan ekonomi itu berlaku, perubahan politik juga akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, wujud kemungkinan Sabah dan Sarawak akan memilih perdagangan barter dengan Indonesia bagi memecahkan monopoli sesetengah barangan di 2 negeri itu, yang menurutnya berpunca dari Putrajaya.
Beliau memberi contoh perdagangan beras di bawah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang menurutnya, meraih puluhan bilion ringgit daripada monopolinya di Sabah.
Zainnal mengakui bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha memecahkan monopoli itu, tetapi berkata, ia masih meragukan.
Katanya, Bernas dan Putrajaya kini terlibat dalam “perang dagang” yang apabila berakhir akan menentukan bagaimana keuntungan dalam perdagangan itu harus dibahagikan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berkata, kerajaan beliau akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan seawal 2024.
Kedua-dua ketua menteri Sabah dan Sarawak mengalu-alukan langkah itu dengan berkata, ia akan memberi kebaikan kepada 2 negeri tersebut.
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menyifatkan Indonesia sebagai “kuasa ekonomi” dan berkata, langkah tersebut akan memberi “kesan besar ekonomi” kepada Sabah dan Sarawak.
Zainnal berkata, pergantungan Sabah pada Putrajaya ke atas beberapa barangan import menyebabkan negeri itu gagal mendapatkan haknya.
“Pergantungan menatijahkan kawalan,” katanya.
“Sebagai contoh, jika kerajaan persekutuan menghentikan import beras ke Sabah, rakyatnya akan kebuluran dalam tempoh 2 bulan.”
Beliau berkata, atas sebab itu Sabah dan Sarawak berkemungkinan besar akan memulakan perdagangan barter dengan Indonesia kerana perdagangan jenis itu tertakluk kepada bidang kuasa 2 negeri berkenaan.