Gaji tinggi tak bermakna tanpa peluang kerja, kata Syed Saddiq

Gaji tinggi tak bermakna tanpa peluang kerja, kata Syed Saddiq

Jika Malaysia mahu mencontohi negara maju, ia juga perlu menyaingi standard dan layanan terhadap pekerja muda di negara berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
PUCHONG:
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi respons terhadap dakwaan bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai pekerjaan kerana gaji rendah, bukan disebabkan kurangnya pekerjaan, dengan berkata gaji tinggi tidak membawa apa-apa makna sekiranya tidak ada peluang pekerjaan.

Beliau bercakap menyokong peningkatan gaji minimum, tetapi bertegas bahawa umur persaraan tidak harus dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Katanya, peningkatan umur persaraan akan menyebabkan ramai yang akan bertahan di jawatan sedia ada mereka dan akan menghalang kakitangan lebih muda mendapat kenaikan pangkat.

“Ia juga berkaitan golongan muda yang masuk dengan merit dan kredibiliti, dan memberi mereka peluang untuk memanjat hierarki pekerjaan sama ada dalam perkhidmatan awam atau sektor swasta,” katanya selepas melancarkan satu acara di sini, hari ini.

Beliau mengakui bahawa Jepun menetapkan umur persaraan 65 tahun, tetapi berkata, angka lain juga perlu diambil kira apabila membandingkan Malaysia dengan negara maju lain.

Katanya, umur purata rakyat Jepun ialah 47 tahun, sedangkan Malaysia ialah 34, dan tidak dianggap sebagai negara berpenduduk tua.

“Kita tidak boleh pilih-memilih begitu. Jika anda ikut ini, anda tidak mahu ikut orang lain. Ia tidak adil kepada orang muda,” katanya.

Beliau berkata, jika Malaysia mahu mencontohi negara maju, ia juga perlu menyaingi standard dan layanan terhadap pekerja muda di negara tersebut.

“Perlu ada keseimbangan. Saya percaya, seperti disebut oleh perdana menteri, perlu ada keseimbangan.”

Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon baru-baru ini berkata, rakyat Malaysia kekurangan pendapatan bagi menampung hidup selepas persaraan kerana jangkaan hayat kebangsaan dijangka meningkat kepada 80 tahun.

Katanya, umur persaraan lebih tinggi akan menambah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) golongan berpendapatan rendah dan juga warga emas.

Berkaitan laporan bahawa kerajaan Terengganu sedang menggubal kod pakaian untuk atletnya, Syed Saqqig berkata, beliau dimaklumkan langkah itu hanyalah di peringkat permulaan dan bersifat nasihat.

Katanya, beliau akan membincangkan isu itu dengan kerajaan Terengganu, selain mengadakan mesyuarat 4 bulanan sekali dengan exco sukan negeri.

Beliau berkata, sukan harus menyatukan rakyat dan bersifat inklusif dengan memberi contoh atlet yang memilih untuk memakai hijab.

“Pendirian saya ialah mempertahankan atlet kita dan kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua pengarah Majlis Sukan Negara, Ahmad Shapawi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.