Mesej terakhir kepada isteri: ‘Ini pertunjukan terakhir saya’

Mesej terakhir kepada isteri: ‘Ini pertunjukan terakhir saya’

Allahyarham yang juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata lingkungan usia 8 tahun hingga 5 bulan.

Siapa sangka demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu hari ini merupakan yang terakhir buat anak pelakon komedi popular A R Badul iaitu Mejar Mohd Zahir Armaya.

Pesanan mesej menyayat hati itu dimaklumkan isterinya Nour Shafinar Harun, 31 kira-kira 9 pagi tadi selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia.

“Saya dimaklumkan tentang berita itu pada pukul 9 pagi tadi dan suami sempat menghantar mesej berkata bahawa itu pertunjukan terakhirnya,” katanya.

Berita tersebut ternyata mengejutkan semua pihak kerana ada yang mendakwa ia hanyalah lakonan semata-mata, namun tersedar kembali yang ia adalah nyata selepas beberapa minit kemudian Allahyarham masih tidak bangun dan sedarkan diri.

Malah darah turut mengalir dengan banyak ketika diseret di tengah padang semasa demonstrasi tersebut dijalankan.

Bukan itu sahaja, malah rakan Allahyarham dalam Komander Kesatria UiTM Shah Alam juga menyifatkan arwah terkenal dengan sikapnya yang suka membuat orang tertawa dan dikaitkan tindak tanduknya itu saling tidak tumpah dengan ayahnya yang merupakan pelawak terkenal.

Dan ia turut diakui Badul akan karakter anaknya itu.

“Dari segi peribadi, apabila berbual dengan saya arwah tampak serius. Tetapi daripada kawan rapatnya, saya tahu Zahir pun bersikap ‘gila-gila’ macam saya,” katanya memetik laporan media.

Dalam masa yang sama, Badul turut berkata anaknya itu ada menyimpan hasrat untuk menjadi pengawal peribadi Yang di-Pertuan Agong.

“Sejak kecil Allahyarham menunjukkan sifat sukakan cabaran yang lasak, kami sekeluarga tidak hairan apabila bidang ketenteraan menjadi pilihannya.”

Allahyarham maut terkena tembakan ketika melakukan gimik demonstrasi pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila mangsa berlakon sebagai pengganas sambil memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum

diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Badul yang reda dengan kejadian berkenaan berkata, jenazah anaknya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, jam 7 malam ini, sebelum dibawa ke Ipoh, Perak, untuk dikebumikan malam nanti.

“Saya difahamkan jenazahnya masih berada di hospital dan dijangka dapat dibawa pulang, malam ini. Di atas permintaan balunya, Allahyarham akan dikebumikan di kampung isterinya di Perak,” katanya.

Allahyarham yang juga pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas meninggalkan seorang balu dan tiga cahaya mata lingkungan usia 8 tahun hingga 5 bulan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.