
Seorang jurucakap bank tidak mahu menafikan atau mengesahkan dakwaan server, komputer meja dan komputer riba bank itu diserang ransomware, seperti yang didakwa di media sosial.
“Kita tak mengulas sebarang spekulasi dan khabar angin,” katanya kepada FMT.
“Kami ingin tekankan bahawa teras sistem perbankan CIMB sentiasa dalam keadaan baik, bermakna pelanggan boleh melakukan transaksi perbankan melalui CIMB Clicks, CIMB BizChannel dan Terminal Layan Diri.”
CIMB berdepan kritikan di dalam talian ekoran kesulitan teknikal yang dihadapi pelanggan ketika cuba mengakses perkhidmatan bank itu.
Syarikat seperti Malaysia Airlines mengeluarkan kenyataan hari ini memaklumkan sistem pembayaran kad CIMB mengalami masalah teknikal. Pengguna dinasihat menggunakan CIMB Clicks atau kaedah pembayaran alternatif.
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd berkata kesulitan teknikal itu sudah dibetulkan.