
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, isu pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor pada 8 Ogos lalu bukan perkara luar biasa dan persatuan itu sudah mengemukakan rayuan rasmi kepadanya hari ini yang akan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk diteliti.
“JPPM boleh memanggil wakil persatuan terbabit bagi mendapat penjelasan atau dilihat dari sudut perlembagaan, persatuan itu ada sesuatu perkara yang perlu dipinda atau disesuaikan ikut kehendak Akta Pertubuhan,” katanya selepas menemui wakil Dong Zong Johor dan Pusat yang diketuai Pengerusinya, Tan Tai Kim selama sejam di KDN hari ini.
Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor bernaung di bawah Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Pada 20 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa Dong Zong Pusat, Low Chee Chong, dilaporkan berkata surat pembatalan bertarikh 8 Ogos diterima daripada pengarah JPPM Johor dengan alasan ia tidak menerima penjelasan berhubung pindaan perlembagaan persatuan berkaitan pembabitan guru.
Sementara itu, Muhyiddin enggan mengulas laporan beliau akan digantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.
“Anda perlu tanya pada perdana menteri.”
Utusan Online hari ini melaporkan Saifuddin dikhabarkan akan berpindah ke KDN bagi menggantikan Muhyiddin dalam rombakan Kabinet yang bakal diumumkan Dr Mahathir Mohamad.