Bekas pembantu Najib dedah ‘misi rahsia China’ demi selamatkan 1MDB

Bekas pembantu Najib dedah ‘misi rahsia China’ demi selamatkan 1MDB

Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu mahkamah yang ahli perniagaan, Low Taek Jho turut berada di China untuk menyertai perbincangan dengan pegawai negara itu.

Amhari Efendi Nazaruddin berkata, beliau tidak boleh mengingkari arahan Najib Razak atau beliau dan keluarganya akan menderita.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Najib Razak beralih kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China untuk menyelamatkan 1MDB apabila sayap pelaburan kerajaan itu dibebani hutang.

Amhari Efendi Nazaruddin berkata, Najib memberi tugasan rahsia kepadanya untuk “mengesahkan hubungan diplomatik dan pelaburan antara kedua-dua negara” menjelang lawatannya selaku perdana menteri ke China pada 2016.

“Beliau mengarahkan saya pergi ke China untuk mengesahkan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya sambil menambah beliau bersetuju dengan berat hati kerana ia adalah arahan majikannya.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata, beliau di bawah tekanan besar dan pernah terfikir mahu meletak jawatan kerana arahan itu membebankan, khasnya apabila orang atasannya, Azlin Alias baru meninggal dunia dalam nahas helikopter.

Azlin ialah ketua setiausaha sulit dan tempat mengadu Najib, khasnya mengenai perkara 1MDB.

Amhari yang merupakan saksi pendakwaan ke-8, berkata beliau bimbang akan menjadi mangsa dalam permainan Najib dan ahli perniagaan, Low Taek Jho kerana mereka cuba menutup wang yang hilang dalam urus niaga 1MDB.

“Ini khasnya apabila 1MDB tidak boleh melangsaikan hutangnya dengan International Petroleum Investment Co yang berpangkalan di Abu Dhabi dan pembiayaan dana politik,” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Saksi itu berkata, beliau tidak boleh mengingkari arahan Najib kerana ia akan membawa penderitaan tidak terhingga kepada beliau dan keluarganya.

Katanya, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low turut berada di China untuk menyertai perbincangan dengan pegawai negara itu.

“Nampaknya Low sudah membincangkan terma dengan pegawai China terlebih dahulu,” katanya sambil menambah perbincangan itu tertumpu kepada pembabitan GLC China untuk menyelamatkan 1MDB daripada hutangnya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah RM2.28 bilion pada Februari 2011 hingga Disember 2014.

Ahli Parlimen Pekan itu turut dikatakan memindahkan RM2.28 bilion dana haram ke akaun banknya dan kemudian menggunakan wang itu.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.