
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Kita telah memberi beberapa pandangan dan rujukan kepada Kementerian Kewangan, termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun kos sara hidup (Cola),” katanya pada Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, Ipoh, hari ini.
Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020, selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.
Ditanya jika cadangan itu relevan kerana dikhuatiri akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kula berkata, cadangan peningkatan had umur bersara itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada negara pada masa depan.
“Negara kekurangan tenaga kerja, bukannya kekurangan peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini kekurangan tenaga kerja.”
Beliau menasihatkan golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir untuk memudahkan mereka diambil bekerja dalam bidang berkaitan.