Sepanjang bulan September ini mempunyai banyak cuti panjang jadi sudah pasti kebanyakan keluarga mempunyai perancangan tersendiri untuk melancong ke destinasi menarik.

Namun dalam keseronokan itu, ada cabaran yang perlu ditempuhi ibu bapa jika membawa anak kecil berjalan jauh, khususnya menaiki kapal terbang.
Beberapa tips berguna anda boleh amalkan supaya perancangan anda menjadi lebih baik.
1. Ambil tiket penerbangan waktu malam
Mengambil tiket penerbangan waktu malam pilihan bagus supaya anak boleh terus tidur sepanjang perjalanan.
Namun anda perlu memberi bayi anda makan lebih awal supaya mereka mempunyai “mood” yang baik.
Jika ada duit lebih, anda boleh memilih tempat duduk yang lebih selesa untuk anak kecil ini.
2. Asingkan keperluan dalam beg galas
Bawa satu “luggage” sedia ada untuk “check-in”, satu lagi beg galas untuk makanan, susu dan keperluan anak, contohnya baju, kain, lampin tebal, dan stoking.
3. Biar anak letih sebelum menaiki kapal terbang

Biarkan mereka bermain sepuasnya kerana di dalam penerbangan, pergerakan mereka akan menjadi terhad.
Seeloknya tunggu sehingga anda menjadi orang yang terakhir naik kapal terbang. Jadi bayi tidak akan rimas untuk duduk dengan lebih lama menunggu untuk berlepas.
Tambahan pula, masa menunggu untuk berlepas penghawa dingin dalam kapal terbang kurang sejuk dan mungkin akan buat anak kepanasan dan ia boleh menyebabkan anak anda tidak selesa dan meragam.
Jadi sediakan satu kipas tangan yang menggunakan kuasa bateri untuk memberi keselesaan kepada mereka.
4. Masa berlepas (Take Off)
Kadang-kala anak anda akan menangis sebab terkejut berikutan tekanan yang kuat di telinganya.
Tips untuk atasinya ialah dengan bagi anak anda minum susu atau “breastfeeding” atau hisap puting.
Jadi bila anda duduk, pakaikan tali pinggang dan bolehlah anda berikan susu pada bayi apabila kapal terbang sudah mula bergerak ke landasan.
5. Pemeriksaan Keselamatan
Jika mengikut peraturan, cecair tidak dibenarkan membawa masuk dalam penerbangan tetapi kadang-kala ia dibenarkan hanya untuk bayi.
Bagaimanapun kebiasannya jika dibenarkan sekalipun ia hanya untuk penerbangan domestik sahaja.
Jika penerbangan luar negara, kawalan keselamatan akan lebih ketat, bermakna anda hanya dibenarkan bawa susu yang belum dibancuh.
Kemudian, air suam dan panas pula anda boleh minta daripada pramugari .
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]