Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya kaji semula dasar berkaitan dadah

Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya kaji semula dasar berkaitan dadah

Suruhanjaya kajian semula dasar berkaitan dadah perlu mengkaji pendekatan sedia ada dan memperkenalkan polisi baru yang rasional.

Naib Presiden Kanan MCPF Lee Lam Thye berkata, telah tiba masa kerajaan menilai semula semua polisi, pendekatan, operasi dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah.
KUALA LUMPUR:
Satu suruhanjaya khusus perlu ditubuhkan bagi mengkaji semula dasar berkaitan dadah untuk membawa pembaharuan dan perubahan yang lebih relevan, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Lee Lam Thye.

Katanya, suruhanjaya tersebut perlu dianggotai pemimpin tertinggi agensi kerajaan berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan dan pakar.

Menurutnya, suruhanjaya tersebut perlu mengkaji pendekatan berkaitan dadah sedia ada dan memperkenalkan polisi baru dadah yang rasional, untuk menangani masalah itu secara efektif dan komprehensif.

“Suruhanjaya tersebut juga harus melakukan analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani isu dadah yang selama ini hanya memberi tumpuan kepada penangkapan dan menghukum penagih dadah.

“Ia juga perlu mengambil kira cadangan untuk dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah, tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, suruhanjaya tersebut juga perlu mengkaji isu terkini, termasuk kemasukan dadah sintetik yang mana pengedar dadah jenis itu gemar menyasarkan jualan kepada generasi muda, termasuk pelajar, kata Lee.

Lee berkata, pendedahan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador baru-baru ini bahawa penggunaan dadah di negara ini kini pada tahap kritikal menunjukkan betapa seriusnya masalah tersebut, selain membuktikan kegagalan kita menanganinya.

Katanya, walaupun masalah dadah di Malaysia belum mencapai tahap negara lain seperti Colombia, ia bakal menjadi lebih teruk jika tiada langkah drastik diambil untuk mengatasinya.

“Apa yang berlaku menunjukkan betapa mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah tidak takut terhadap undang-undang, termasuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah.

“Masanya telah tiba untuk kerajaan melakukan penilaian semula secara menyeluruh semua polisi, pendekatan, operasi dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.