
Ketika ditahan, kebanyakan mereka memberitahu mengambil peluang cuti umum untuk ke George Town bertemu rakan selain sekadar bersiar-siar.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM negeri, Kholijah Mohamad berkata, mereka adalah 18 warga asing tanpa izin yang ditahan pihaknya dalam operasi bermula pukul 11 pagi dan tamat sejam kemudian.
“Operasi itu dilakukan hasil risikan daripada maklumat awam berikutan ramai warga asing yang mengambil kesempatan cuti umum untuk menggunakan perkhidmatan bas,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan 3 wanita membabitkan 6 lelaki Bangladesh, Myanmar (4 lelaki), Indonesia (4 lelaki dan 3 wanita) dan seorang lelaki warga Kemboja.
Khotijah berkata, semua warga asing berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa serta menyalahguna pas lawatan sosial.
“Pemeriksaan kami mendapati ada warga asing yang ditahan sepatutnya balik ke negara asal kerana permit kerja tamat namun mereka terus tinggal di negara ini serta bekerja secara haram,” katanya.
Dalam operasi disertai 18 penguatkuasa JIM Pulau Pinang itu, 676 warga asing yang berada di kawasan Penang Sentral diperiksa.
Katanya, 18 warga asing yang ditahan itu dihantar ke Depoh Tahanan Juru dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.