
Santokh berkata, beliau merindui zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara pada dekad 70-an dan 80-an yang dibarisi pemain pelbagai kaum seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan R Arumugam.
“Saya bukan nak ‘serang’ mana-mana pihak, tetapi dulu kita ada pemain Cina, Melayu, India dan Punjabi. Pasukan bola sepak pelbagai kaum.
“Saya cuma nak beritahu, negara yang berbilang kaum mesti ada pasukan yang berbilang kaum,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di Taman Air Panas, Setapak baru-baru ini.
Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata, kebanyakan pemain negara ini adalah pemain Melayu.

“Saya tidak tahu kenapa mereka (pemain bukan Melayu) tidak dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan, saya harap selepas 63 tahun kita mencapai Kemerdekaan, pasukan negara akan seperti dulu.
“Jika dulu kita boleh bermain bersama-sama, duduk satu meja, tidur bersama dan mandi sama-sama. Saya tidak tahu sekarang macam mana,” katanya.
Permainan bola sepak negara merosot
Santokh juga berkata, beliau melihat mutu dan pencapaian permainan pasukan negara kini merosot.
Katanya, ini antara lain disebabkan pengambilan pemain dari luar negara menajdikan pemain tempatan kurang mendapat peluang untuk mewakili negara.
“Pemain tempatan hanya duduk di bangku simpanan dan itu menjadi masalah.

“Kita mahu pemain tempatan diberi peluang. Kita mahu pemain yang betul-betul bermain untuk negara, bukannya hanya untuk duit,” katanya.
Santokh berkata, kaum bukan Melayu bukan tidak berminat atau tiada kebolehan untuk bermain bola sepak, tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau wakil negeri perlu lebih aktif pergi ke akar umbi untuk mencari pemain yang berbakat.
“Kita ada 32 juta orang rakyat, takkan nak dapatkan 11 pemain yang bertaraf dan berkualiti tak boleh,” katanya.
Santokh, yang juga merupakan duta pasukan Petaling Jaya (PJ) City berkata, pasukan PJ City misalnya mempunyai beberapa pemain berketurunan India yang berkualiti dan patut mendapat peluang mewakili negara, tetapi keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.
Santokh masih berharap FAM akan menganjurkan semula Pestabola Merdeka, walaupun selepas 6 tahun ia tidak diadakan.
Katanya, Pestabola Merdeka merupakan satu acara nostalgia yang mengingatkan kita kepada zaman kegemilangan pasukan bola sepak negara.

“Kalau boleh anjurkan semula (Pestabola Merdeka) dan FAM mesti menjemput pasukan negara Asia seperti Korea, Jepun dan Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam.
“KIta tak perlu jemput negara lain seperti Australia atau New Zealand,” katanya.
Memegang status sebagai antara kejohanan bola sepak tertua di benua Asia, mengatasi Piala Raja Thailand dan Piala Korea Selatan, Pestabola Merdeka adalah kejohanan jemputan yang mula membuka tirainya pada 1957.
Kejohanan berprestij itu diadakan bertujuan meraikan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia.
Walaupun dijadikan acara tahunan, ia pernah tidak dilangsungkan untuk beberapa edisi atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Kejohanan terbabit mencapai detik gemilangnya pada era 1960-an hingga 1980-an apabila disertai gergasi bola sepak Asia seperti Korea Selatan dan Jepun yang menghantar pasukan utama mereka, sebelum disertai pasukan dari Eropah dan Amerika Latin.
Edisi pertama Pestabola Merdeka diadakan pada Ogos dan September 1957 yang menyaksikan pilihan Liga Hong Kong menjuarai kejuaraan sulung itu.
Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan taring sebagai tuan rumah apabila menjuarai 10 edisinya, termasuk 2 yang dimenangi skuad Bawah 23 tahun negara diikuti Korea Selatan, Myanmar dan Indonesia.