
Ketua Polis Daerah Langkawi, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan dibuat 5 petang ini selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat orang awam 11.42 pagi tadi.
Beliau berkata, pengadu melaporkan dia yang mempunyai urusan di kawasan berkenaan ternampak kedua-dua bendera dipasang secara terbalik di premis yang terletak di Pekan Pandak Mayah itu.
“Siasatan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah kedai runcit serbaneka di suatu kawasan bangunan lot kedai 2 tingkat yang telah beroperasi sejak 15 tahun lalu.
“Hasil siasatan ke atas 2 individu yang ditahan, iaitu pemilik premis, seorang lelaki berusia 60 dan wanita berusia 50 tahun. Mereka mengaku terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama.
Beliau berkata, suspek yang ditahan juga membuat satu laporan polis menyatakan bendera tersebut tersilap pasang.
“Suspek juga menyatakan kekesalan di atas kejadian tersebut.
“Ekoran daripada kejadian ini suspek telah membetulkan semula kedudukan kedua-dua bendera tersebut,” katanya.