
Taufan Dorian dijangka mendarat di timur Florida dan mempunyai potensi sebagai taufan Kategori 4 pada satu peringkat hujung minggu ini. (Gambar AFP)WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pada Khamis bahawa beliau membatalkan satu perjalanan yang dirancang hujung minggu ini ke Poland selepas mendapati Taufan Dorian mendekati tanah besar AS, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Naib Presiden Mike Pence akan menghadiri majlis Peringatan Perang Dunia ke-2 di Eropah tengah sebagai menggantikan beliau, kata Trump dalam ucapan di Rose Garden di mana beliau meraikan penubuhan Pusat Perintah Angkasa AS.
Trump berkata, beliau akan berada di Washington “bagi memastikan bahawa semua sumber kerajaan persekutuan difokuskan kepada taufan yang bakal melanda itu.”
“Adalah penting untuk saya berada di sini. Taufan itu nampaknya akan menjadi sesuatu yang amat, amat besar,” kata presiden itu.
Trump berkata, Presiden Poland Andrzej Duda telah dimaklumkan bahawa beliau tidak akan hadir dan akan berusaha menjadualkan semula perjalanannya.
Dorian dijangka mendarat di timur Florida dan mempunyai potensi sebagai taufan Kategori 4 pada satu peringkat hujung minggu ini.
Ia bergerak ke arah barat daya menghala ke AS dengan angin kencang berkelajuan maksimum 85 batu sejam (137 kilometer sejam).
Ia kini berada kira-kira 400 batu (644 kilometer) di timur tenggara Bahamas.
Angin kencang ribut tropika itu boleh dirasai di Florida seawal petang Sabtu atau malam Sabtu, menurut ramalan.