Penghantaran pulang warga Turki membimbangkan agensi PBB

Penghantaran pulang warga Turki membimbangkan agensi PBB

UNHCR mengikuti laporan-laporan mengenai Arif Komis dengan rasa bimbang.

PETALING JAYA: Menghantar pelarian dan pencari suaka kembali ke negara asal secara paksa dilarang adat antarabangsa, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selepas Putrajaya menghantar pulang seorang warga Turki atas permintaan Ankara.

Agensi PBB itu menyenaraikan Arif Komis, seorang guru sekolah di Kuala Lumpur, sebagai orang yang dibimbangi terdedah kepada bahaya jika dihantar pulang ke negara asal secara paksa.

“Mencari suaka adalah hak asasi manusia dan menghantar pulang pelarian dan pencari suaka ke negara asal secara paksa dilarang adat antarabangsa,” kata jurucakapnya, Yante Ismail kepada FMT.

Yante enggan mengulas lanjut penghantaran pulang Komis, mengatakan UNHCR tidak membincangkan butiran kes-kes individu.

“Tetapi kami mengikuti laporan-laporan ini dengan rasa bimbang,” katanya.

Putrajaya dikritik aktivisi hak asasi kerana menghantar pulang Komis, 43, bapa kepada 4 orang anak.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan itu, mengatakan polis mempunyai bukti yang menyebabkan mereka berpendapat dia tidak harus berada di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.