
“Jika ada pemimpin kerajaan yang menafikan hal ini, maka pemimpin itu masih berada di kayangan elitis yang terpisah daripada realiti,” kata Syukri Razab.
Menegaskan dia bercakap atas kapasiti peribadi, Setiausaha Pemuda PKR itu berkata masalah sama menjangkiti Umno sepanjang mereka memerintah negara sebelum ini.
Syukri berkata apa yang paling ketara ialah rakyat belum merasa sebarang perubahan signifikan yang memberi kesan kepada hidup mereka sejak PH mengambil alih kuasa pada Mei.
“Masih banyak isu sekitar beban kos hidup rakyat masih belum selesai,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata kadar pengangguran masih kekal sekitar 3.4% sejak 3 tahun lalu, dan menambah seramai 174,327 pemegang ijazah menganggur pada suku pertama 2019.
“Lebih menyedihkan kebanyakan siswazah yang masih menganggur ini datang daripada keluarga B40,” katanya.
Syukri berkata rakyat masih menunggu bagaimana kerajaan boleh membatnu mereka memperolehi gaji yang adil dan setimpal.
Dalam masa yang sama, tol masih kekal, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih bergelut membayar balik hutang, mahasiswa pula ada yang terpaksa jual petai untuk menampung bayaran pendaftaran masuk ke universiti, seperti yang ditularkan.
Beliau berkata, rakyat dihidangkan pula dengan pengumuman demi pengumuman daripada kerajaan, sama ada secara sengaja atau tidak, “mencetuskan polemik yang tidak perlu” dan “memberi peluang kepada penunggang sentimen agama dan perkauman mengambil kesempatan”.
Akhirnya, beliau berkata, rakyat akan melihat siapa yang mampu mengangkat nilai kehidupan mereka, siapa yang boleh meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, dan siapa yang boleh memberi lebih banyak peluang kerjaya, dan siapa yang boleh menawarkan lebih banyak biasiswa pendidikan.
“Inilah yang perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh PH. Berhentilah dengan jenaka kereta terbang dan lain-lain isu yang hanya meningkatkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Terlajak perahu boleh diundur lagi, tetapi jika terlajak buat pengumuman nanti terpaksa buat ‘u-turn’ yang memalukan,” katanya.
Syukri bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Rais bahawa PH mungkin kalah ditentang Umno dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, rakyat sudah cukup memberikan peluang kepada Umno, dan PAS wajar selesaikan “hutang percetakan akhbar rasmi mereka” sebelum berbicara tentang cita-cita menakluk Putrajaya.