Indonesia kerah 300 polis bantuan ke Papua susulan keganasan baru

Indonesia kerah 300 polis bantuan ke Papua susulan keganasan baru

Penunjuk perasaan membakar bangunan kerajaan, pejabat telekomunikasi dan stesen minyak serta membaling batu ke arah sebuah hotel di ibu kota wilayah itu, Jayapura.

Minggu lepas, sehingga 1,200 anggota polis dihantar ke wilayah Papua Barat selepas satu tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan.
JAKARTA:
Sejumlah 300 anggota polis tambahan dihantar ke wilayah timur Papua di Indonesia selepas satu perhimpunan bertukar ganas sehari sebelum itu masih berterusan pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Ketua Polis Negara Jeneral Tito Karnavian.

Para penunjuk perasaan membakar bangunan kerajaan, pejabat telekomunikasi dan stesen minyak serta membaling batu ke arah sebuah hotel di ibu kota wilayah itu, Jayapura pada Khamis.

Dalam satu rusuhan sehari sebelum itu di daerah Deiyai, seorang anggota tentera maut, manakala 2 lagi cedera bersama 3 anggota polis dan seorang awam, menurut jurucakap tentera wilayah Eko Daryanto.

“Kami mengesali keganasan. Kami telah menghantar (lebih ramai) anggota,” kata beliau.

Polis bantuan yang baru dihantar akan ditempatkan di daerah dan bandar yang dilanda keganasan, kata Tito.

Beliau berkata, penyerang ketika rusuhan di Deiyai adalah dari daerah Paniai, tempat asal satu kumpulan bersenjata yang digelar pasukan keselamatan Indonesia sebagai “kumpulan penjenayah bersenjata”.

Minggu lepas, sehingga 1,200 anggota polis dihantar ke wilayah Papua Barat selepas satu tunjuk perasaan bertukar menjadi rusuhan, menurut jurucakap polis kebangsaan Muhammad Iqbal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.