Bank tuntut wang dibeku kerajaan dalam saman lucut hak

Bank tuntut wang dibeku kerajaan dalam saman lucut hak

Peguam Maybank, Muhamad Al Muazzim Azmi Amin berkata mereka mahu menuntut wang dari sebuah syarikat dan beberapa individu yang mempunyai tunggakan pinjaman dengan bank itu.

KUALA LUMPUR:
Maybank cuba menuntut wang dalam akaun bank sebuah syarikat dan beberapa individu yang dibekukan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Peguam Muhamad Al Muazzim Azmi Amin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang Maybank mahu menuntut wang itu daripada Rembulan Kembara Sdn Bhd, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, Lim Hwee Bin yang merupakan isteri Ng dan Kee Kok Thiam – sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho.

Katanya, syarikat itu dan individu terbabit mempunyai tunggakan pinjaman dengan bank berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menasihatkan Maybank memfailkan permohonan untuk menjadi pihak dalam saman kerajaan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes.

Kerajaan dalam usaha merampas RM32,037.34 daripada Rembulan Kembara, RM237,264.38 daripada Ng, RM429,324.14 daripada Lim dan RM1.29 juta daripada Kee. Semua wang itu disimpan dalam akaun Maybank mereka.

Mahkamah turut menetapkan 11 Oktober ini sebagai tarikh akhir bagi bekas perdana menteri, Najib razak dan individu lain yang dinamakan dalam saman pelucuthakan memfailkan jawapan mereka kepada pihak pendakwaan.

Kerajaan cuba mendapatkan semua ratusan barang yang disita daripada bekas perdana menteri, 17 individu dan syarikat, selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.

Individu lain yang dinamakan dalam saman pelucuthakan itu termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, penerbit filem, Riza Aziz, anak Najib dan ibu Low, Goh Gaik Ewe.

Ia termasuk barang kemas, beg tangan berjenama, wang tunai pelbagai mata wang, jam tangan, kasut dan 27 kenderaan.

Wang sebanyak RM18 juta dalam pelbagai akaun bank dan sebuah banglo milik keluarga Low di Tanjung Bungah turut disita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.