Laporan PBB bukti Model Ekonomi Baru gagal, kata pakar ekonomi

Laporan PBB bukti Model Ekonomi Baru gagal, kata pakar ekonomi

Zouhair Rosli dari firma penyelidikan DM Analytics berkata, ia disebabkan fokus utama MEB hanya untuk membangunkan infrastruktur di bandar utama yang tidak membawa kesan progresif kepada pembangunan luar bandar.

Pakar ekonomi, Madeline Berma mencadangkan kerajaan merangka dasar ekonomi baru yang menekankan 4 isu utama – inklusif, ketidaksamaan, kemapanan dan kemiskinan.
KUALA LUMPUR:
Seorang penganalisis ekonomi berkata laporan pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kadar kemiskinan sebenar di Malaysia yang lebih tinggi menunjukkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan bekas perdana menteri, Najib Razak gagal mencapai matlamatnya.

Zouhair Rosli dari firma penyelidikan DM Analytics berkata, kegagalan itu disebabkan fokus utama MEB hanya untuk membangunkan infrastruktur di bandar utama seperti Johor Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching yang tidak membawa kesan progresif kepada pembangunan luar bandar.

Katanya, dasar ekonomi seperti MEB sepatutnya memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam menerima manfaat pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika anda melihat jurang pendapatan antara negeri terkaya seperti Selangor dan termiskin Kelantan, jurang pada 1970 hingga 1990 turun daripada 3.9% kepada 2.7%.

“Perkara yang sama berlaku antara 1990 dan 2009, ia terus menurun kepada 1.6%. Tetapi, semasa tempoh MEB, jurang semakin melebar daripada 1.7% kepada lebih 2%.

“Ini bermakna apabila anda memberi tumpuan kepada bandar raya, tidak ada apa-apa untuk orang luar bandar,” katanya kepada FMT.

MEB yang dilancarkan Najib pada Mac 2010 bertujuan menjadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan sasaran meningkatkan pendapatan per kapita daripada AS$7,000 (RM23,100) pada 2010 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun.

MEB yang digubal Majlis Penasihat Ekonomi Negara diintegrasikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan wawasan jangka panjang sehingga RMK11.

Pada 23 Ogos lalu, Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston dilaporkan berkata, dakwaan Malaysia yang kemiskinan sudah dibasmi atau dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar tidak menggambarkan keadaan sebenar dan mengecualikan penduduk mudah terjejas daripada statistik rasmi.

Katanya, garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan untuk 4 sekeluarga hidup dengan RM8 seorang setiap hari terlalu rendah kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

Alston pernah menemui keluarga yang tidak mampu membayar sewa, menghantar anak ke sekolah atau mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak dapat menanggung kos pengangkutan.

Zouhair berkata, masih belum terlambat untuk kerajaan Pakatan Harapan membetulkan keadaan dengan segera memfokuskan lebih banyak pembangunan infrastruktur dan aktiviti ekonomi tempatan di kawasan luar bandar.

“Lebih baik lambat daripada tidak ada langsung.”

Sementara itu, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Madeline Berma berkata kerajaan perlu merangka dasar ekonomi baru yang menekankan 4 isu utama – inklusif, ketidaksamaan, kemapanan dan kemiskinan.

“Bagi saya, kita tidak akan menjadi Harimau Asia jika kita tidak menangani masalah ini.

“Tidak ada gunanya jika kita mencapai pertumbuhan yang tinggi, tetapi ketidakseimbangan dan ketidakadilan ini terus berlanjutan,” katanya yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.