Guan Eng nafi Kementerian Kewangan tangguh bayaran pengusaha bas

Guan Eng nafi Kementerian Kewangan tangguh bayaran pengusaha bas

Menteri kewangan itu berkata, kementeriannya hanya menerima permohonan Jakoa pada 22 Ogos lalu dan meluluskannya pada 27 Ogos.

Lim Guan Eng menyifatkan Kementerian Kewangan sangat cekap kerana meluluskan permohonan Jakoa untuk membayar pengusaha bas sekolah Orang Asli dalam masa 5 hari.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kementeriannya tidak patut dipersalahkan atas kelewatan menjelaskan bayaran kepada pengusaha bas sekolah bagi masyarakat itu yang tertunggak selama 5 bulan.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Juli Edo semalam yang berkata, ia mempunyai wang mencukupi, tetapi sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk membuat bayaran.

Lim berkata, kementeriannya hanya menerima permohonan Jakoa pada 22 Ogos lalu dan meluluskannya pada 27 Ogos.

“Jadi, saya fikir Kementerian Kewangan sangat cekap,” katanya ketika ditemui di luar Persidangan Asia Demokrasi Sosial hari ini.

“Saya rasa lebih baik anda tanya Kementerian (Pembangunan Luar Bandar) kenapa kenyataan seperti ini dikeluarkan (Jakoa), khasnya apabila ia tidak berasas.”

Isu itu timbul selepas dibangkitkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dilaporkan berkata pengusaha bas mahu menghentikan perkhidmatan bas sekolah bagi masyarakat Orang Asli jika Putrajaya gagal melangsaikan bayaran untuk perkhidmatan itu.

Katanya, kontraktor yang puratanya pengusaha bas Orang Asli tidak menerima bayaran sehingga 5 bulan.

Ramli berkata, perkara itu tidak pernah berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional dan beliau bimbang anak Orang Asli di Cameron Highlands dan seluruh negara tidak ke sekolah jika perkhidmatan bas sekolah dihentikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.