Maszlee bimbang cadangan hukuman tak berperikemanusiaan sekolah tahfiz

Maszlee bimbang cadangan hukuman tak berperikemanusiaan sekolah tahfiz

Menteri pendidikan itu berkata, hukuman yang disenaraikan dalam borang persetujuan disediakan Pondok Hidayatul Mubtadi’ien di Kuching merendahkan martabat pendidikan negara.

Hukuman yang dicadangkan Pondok Hidayatul Mubtadi’ien di Kuching dalam usaha menghalang pelajar ponteng sekolah atau berkelakuan tidak baik.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bimbang dengan cadangan hukuman yang disifatkannya tidak berperikemanusiaan oleh sebuah sekolah tahfiz di Sarawak, termasuk menyimbah air najis dan merotan pelajar sebanyak 60 kali.

Katanya, hukuman yang disenaraikan dalam borang persetujuan disediakan Pondok Hidayatul Mubtadi’ien di Kuching itu merendahkan martabat pendidikan negara.

“Pendidikan tidak berkesan dengan kekerasan. Pendidikan ialah cinta, kasih dan sayang.

“Pendidikan ialah untuk semua, tanggungjawab semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Abdul Rahman Junaidi dilaporkan berkata, borang persetujuan ibu bapa itu bertujuan menghalang pelajar ponteng sekolah atau berkelakuan tidak baik.

Beliau memberitahu FMT yang pengetua sekolah tahfiz terbabit mengakui kesilapan mereka, tetapi memaklumkan hukuman itu tidak pernah dilaksanakan ke atas pelajar.

Selain disimbah air najis dan dirotan 60 kali di belakang badan, hukuman lain termasuk dibotakkan kepala, dijemur selepas waktu Zohor dan Asar serta tiada sijil berhenti sekolah diberikan kepada pelajar yang tidak melanjutkan pengajian.

Hari ini, Maszlee menggesa semua institusi pendidikan swasta berpegang kepada prinsip kemanusiaan dan undang-undang ketika menggubal sebarang hukuman ke atas pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.