
Novelis dan pengkaji sastera Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani berkata Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) membolehkan berlakunya penghijrahan jawi kepada rumi.
Katanya, penghijrahan itu juga menyekat perbincangan kritis dalam karya jawi untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat sehingga ke hari ini.

“Maka, tidak menghairankan kalau mereka tidak bersuara dalam hal ini, kerana mereka adalah sebahagian daripada perubahan,” katanya kepada FMT.
Selepas penghijrahan tersebut, dikatakan kedudukan tulisan jawi sebagai medium utama penulisan Melayu disambut dengan perisytiharan Akta Bahasa Kebangsaan pada 1963.
Jelas Faisal, pada waktu itu wujud tanggapan rumi lebih sesuai dengan konsep Melayu moden dan boleh membawa Tanah Melayu ke hadapan, sedangkan tulisan jawi dianggap lebih tradisional.
Namun, katanya, golongan ini tidak berupaya membezakan apakah itu tradisional yang harus ditinggalkan, berbanding tradisi yang boleh dikekalkan dan dibawa ke hadapan yang kemudiannya menyebabkan warisan jawi tergugat.
Asas 50 merupakan gerakan persatuan sastera pertama dan tertua di Tanah Melayu selepas perang. Ia ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 untuk memajukan bahasa dan sastera Melayu sebagai pemangkin mencapai kemerdekaan, keadilan sosial dan kemajuan pemikiran.
Antara pelopor Asas 50 ialah A Samad Said, Keris Mas, Usman Awang, Hamzah, Masuri SN, Rosmera dan ramai lagi.

Gerakan itu menghantar satu memorandum kepada kerajaan bertarikh 27 Mac 1954, mengemukakan beberapa sebab bagi menunjukkan kelebihan tulisan rumi berbanding jawi sebagai medium persuratan Melayu.
Akta Bahasa Kebangsaan pula secara tersuratnya tidak pernah menghalang penggunaan jawi namun seiring perkembangan masa, penerbitan penulisan dalam tulisan jawi sangat terhad dan tertakluk di beberapa helaian surat khabar Melayu sahaja.
Bagaimanapun, salah seorang pejuang Asas 50, A Samad Said menegaskan perubahan itu bukan didokong oleh konsep Melayu moden, sebaliknya untuk menimba karya kesusasteraan di negara jiran, Indonesia.
“Saya fikir Indonesia agak mempengaruhi. Kita ada pengguna yang sedikit. Di Indonesia, ada berjuta-juta. Jadi kita fikir dengan begitu, kita dapat meresap diri kita ke dalam aliran (kesusasteraan) Indonesia.
“Dan kita mempunyai khazanah buku-buku yang banyak di Indonesia bukannya di Malaysia,” katanya ketika ditemui FMT.
Ketika ditanya sama ada tindakan Asas 50 itu berjaya memajukan bidang kebangsaan, Samad berkata secara tidak rasmi perubahan itu berjaya.
“Secara tidak rasmi, itu agak berjaya. Tapi tabiat pembacaan itu, buku terlalu banyak di indonesia. Tapi tidak begitu mengalir di sini.
“Bukan kerana ia tak nak mengalir, dia tak ada penyambut,” katanya.