
Borang persetujuan yang dipercayai dihantar oleh Pondok Hidayatul Mubtadi’ien di Kuching itu menyenaraikan hukuman “tidak masuk akal” yang menerima kritikan di media sosial.
Timbalan Menteri negeri Abdul Rahman Junaidi, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Sarawak, memberitahu FMT, “JAIS telah memanggil guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan polis menyiasat perkara itu.”
Beliau berkata sekolah agama itu didaftarkan di bawah JAIS.
Borang persetujuan itu mendapat reaksi ramai selepas pengguna Twitter membuat hantaran di media sosial yang menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyiasatnya.
Borang itu meminta persetujuan ibu bapa terhadap tindakan disiplin sekolah terbabit termasuk dirotan 60 kali di belakang, dibotakkan kepala, disimbah dengan air najis dan dijemur dari selepas Zohor hingga waktu Asar.
Mereka yang enggan meneruskan pengajian pula tidak akan diberikan sijil berhenti sekolah, menurut borang tersebut.
Ibu bapa juga diwajibkan menghantar anak mereka ke sekolah untuk menerima tazkirah walaupun mereka enggan meneruskan pengajian, menurut surat tersebut.