Pihak pendakwaan tutup kes, nasib Najib diketahui 11 November

Pihak pendakwaan tutup kes, nasib Najib diketahui 11 November

Hakim menetapkan 24 September ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis dan 15 Oktober untuk mereka menukar serta menjawab penghujahan terdahulu.

Perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak bermula 3 April lalu.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak di Mahkamah Tinggi menutup kesnya selepas prosiding selama 57 hari.

Pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rosli Hussain ialah saksi pendakwaan ke-57 dan terakhir yang selesai memberi keterangannya di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perbicaraan itu bermula 3 April lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan Nazlan yang pihak pendakwaan menutup kes mereka dan mereka menawarkan 66 saksi untuk dipanggil pihak pembelaan kemudian.

“Kami akan cuba hubungi dan dapatkan saksi itu. Mereka semua boleh dihubungi,” katanya kepada hakim.

Nazlan kemudiannya menetapkan 24 September ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis dan 15 Oktober untuk mereka menukar serta menjawab penghujahan terdahulu.

Beliau turut menetapkan 2 pihak itu membuat penghujahan lisan dan penjelasan di depannya pada 22 dan 23 Oktober ini, serta keputusan akan dibuat pada 11 November nanti.

Nazlan berkata, perbicaraan akan diteruskan mulai 2 hingga 19 Disember ini, jika Najib diarahkan untuk membela diri bagi semua atau sebahagian daripada pertuduhan itu.

Di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram memberitahu wartawan, pihak pendakwan mempunyai satu kes prima facie terhadap 7 dakwaan yang dihadapi Najib.

“Saya percaya kami sudah memasukkan semua yang diperlukan untuk membuktikan dakwaan itu dengan memanggil saksi dan menyerahkan bukti dokumentari.”

Najib, 66, berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu dakwaan penyalahgunaan kuasa dan 3 pertuduhan pengubahan wang membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.