
“Sama seperti kes bapa dan adik-beradik saya yang menjadi sasaran serupa berdasarkan asas tidak masuk akal, ramai yang tahu butiran kes itu terkejut dan hilang kata-kata bagaimana kerajaan terang-terangan menyalahgunakan undang-undang,” kata Nooryana Najwa menerusi Facebook.
Katanya, beliau sudah lama mengemukakan dokumen untuk membuktikan sebahagian besar wang yang dipertimbangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai pendapatan adalah wang daripada keluarga suaminya di Kazakhstan.
Nooryana berkata beliau juga mengemukakan bukti menunjukkan pembelian rumah milik keluarga mentuanya menggunakan dana dari luar negara dan beliau disenaraikan sebagai pemilik bersama.
“Entah bagaimana, tindakan menyenaraikan saya sebagai pemilik bersama suami saya sekarang dianggap oleh kerajaan sebagai ‘pendapatan’ saya!
“Dan ini merupakan sebahagian besar daripada ‘cukai yang perlu dibayar’ walaupun bayaran untuk rumah itu tidak pernah melalui saya,” katanya.
Pada 2015, Nooryana berkahwin dengan Daniyar Kessibayev, anak tiri jutawan Kazakhstan Bolat Nazarbayez, yang merupakan adik presiden Nursultan Nazarbayev.
Mengulas lanjut, Nooryana berkata beliau dan suami sudah berharta sebelum mereka bertemu.
“Dalam apa jua kes, walaupun anda menganggap bayaran dari suami kepada isteri sebagai pendapatan, pemindahan ini adalah dari luar negara dan tidak boleh dikenakan cukai.”
Beliau berkata sebahagian wang itu adalah mas kahwin dan hadiah dari keluarga dan rakan-rakan.
LHDN, berkata Nooryana tidak mengemukakan penyata cukai antara 2011 dan 2017, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Julai, bagi menuntut tunggakan antara RM21,084 hingga RM6 juta.
Ia merupakan saman kedua yang dikenakan terhadap anak Najib selepas anaknya, Nazifuddin didakwa atas tunggakan cukai sebanyak RM37.6 juta selama 7 tahun.
LHDN juga menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dalam cukai tambahan, apa yang digambarkan sebagai saman cukai terbesar terhadap individu di negara ini.