Fikirlah secara rasional, Maszlee nasihat kumpulan ancam boikot Jawi

Fikirlah secara rasional, Maszlee nasihat kumpulan ancam boikot Jawi

Menteri berkata mereka yang menghalang anak-anak pergi sekolah mungkin menjejaskan masa depan mereka.

Menteri Maszlee Malik bersama Rektor Institut Pendidikan Guru, Rusmini Ku Ahmad.
GEORGE TOWN:
Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyeru orang ramai bertenang susulan laporan mengenai kumpulan ibu bapa mengancam untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika pembelajaran Jawi diperkenalkan seperti yang dirancang.

“Kita patut fikir secara rasional dan tidak bertindak secara emosi. Pendidikan sangat penting dan sekolah tempat selamat untuk anak-anak. Saya seru semua rakyat, terutama kumpulan seperti Sekat dan lain-lain, jangan terlalu emosi.

“Ia mungkin menjejaskan masa depan anak-anak kita. Pendidikan untuk semua, jangan tolak,” katanya pada sidang media di Institut Pendidikan Guru di Gelugor hari ini.

Maszlee mengulas reaksi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menganggap kumpulan itu sebagai “bodoh sombong”.

Pembelajaran Jawi akan diperkenalkan sebagai komponen mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah mulai tahun depan.

Ia dilaksanakan disebalik bantahan pelbagai pihak, termasuk kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong, dan Seni Khat Action Team (Sekat), sebuah gabungan 24 kumpulan.

Sekat pada Ahad berkata sekiranya kerajaan bertegas untuk meneruskan keputusan memperkenalkan tulisan Jawi tanpa membincangkannya dengan pihak berkaitan, Sekat akan menganjurkan “Hari Tidak Hadir ke Sekolah” bagi menunjukkan bantahan.

Kerajaan bagaimanapun bertegas pelaksanaan pembelajaran Jawi itu adalah secara pilihan di sekolah-sekolah aliran dan tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan.

Sumber Kementerian Pendidikan memberitahu FMT semalam bahawa kerajaan akan bertemu kumpulan-kumpulan itu dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.