Program Malaysia Rumah Keduaku bukan untuk pemohon langgar undang-undang, kata kerajaan

Program Malaysia Rumah Keduaku bukan untuk pemohon langgar undang-undang, kata kerajaan

Reuters melaporkan program MM2H menarik 251 pemohon daripada warga Hong Kong tahun ini, berbanding 193 yang diluluskan tahun lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Isham Ishak berkata, tidak berlaku peningkatan besar dalam permohonan penduduk Hong Kong untuk menyertai program MM2H. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemohon program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) hari ini diberitahu supaya tidak menggunakannya untuk melarikan diri daripada undang-undang dan pihak berkuasa di negara asal mereka.

Pemohon mestilah “tulen” kata ketua setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Isham Ishak apabila ditanya sama ada terdapat penduduk Hong Kong memohon untuk menyertai program tersebut berikutan protes awam yang berlaku di sana.

Isham berkata, tidak berlaku kemasukan besar, tetapi beliau belum “melihat rekodnya dan kita memang mengalu-alukan (pemohon tulen).”

“Jika ada peserta baru dari Hong Kong yang berminat untuk datang ke Malaysia, mereka sangat dialu-alukan, tetapi mereka mesti tulen.

“Maksud saya, mereka tidak melarikan diri daripada sesuatu,” katanya selain menambah bahawa pemeriksaan latar belakang akan dijalankan ke atas semua pemohon MM2H.

Isham bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Pelancongan Dunia ke-5 dengan tema “Beyond Tourism – Beyond Expectation” oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Ini berikutan laporan bahawa ramai pembeli hartanah kaya dari Hong Kong melihat Malaysia sebagai pilihan rumah ke-2 mereka sewaktu wilayah pentadbiran istimewa China itu berdepan protes meluas.

Laporan itu menyebut selain mengambil kesempatan atas program MM2H, yang diwujudkan bagi menarik pembeli kaya untuk membeli hartanah berharga minimum RM500,000, ramai yang mengikut saluran lain dan memeriksa pembelian hartanah dalam julat harga antara RM4 juta ke RM5 juta.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pulau Pinang, Toh Chin Leong berkata, banyak ejen dan pemaju perumahan Malaysia kini bekerjasama dengan ejen di Hong Kong bagi mendapatkan data pembeli di sana.

“Dalam jangka 1-2 bulan ini, banyak pemaju dijangka pergi ke Hong Kong untuk menjual hartanah Malaysia,” kata Toh.

Reuters, yang memetik sumber kerajaan melaporkan, program MM2H menarik 251 pemohon daripada warga Hong Kong tahun ini, berbanding 193 yang diluluskan tahun lepas.

Laporan itu memetik perunding hartanah berkata, minat kepada program MM2H meningkat secara mendadak dalam kalangan penduduk kaya hub kewangan Asia itu, yang kini digegarkan oleh protes anti Beijing yang bermula 11 minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.