
Zahid berkata tindakan undang-undang itu diputuskan oleh biro politik dan majlis tertinggi parti demi kepentingan Umno.
“Ketika (Timbalan Presiden) Mohamad Hasan menjalankan tugas-tugas presiden, tindakan itu juga telah diteruskan. Itu keputusan parti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Petaling Jaya hari ini.
Umno sebelum ini dilaporkan sudah meyaman 3 bekas wakil rakyatnya yang menyertai PPBM atas tuduhan melanggar kontrak.
Writ saman difailkan terhadap Mustapa Mohamed (ahli Parlimen Jeli), Hamzah Zainudin (ahli Parlimen Larut) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (ahli Parlimen Tanah Merah).
“Tiga saman itu dikeluarkan oleh Apandi Ali & Co, tetapi ahli-ahli Parlimen lain yang telah meninggalkan Umno disaman oleh firma guaman yang berlainan,” tambah Zahid.
Hamzah, Ikmal dan Abdul Latif Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu) keluar Umno untuk menyertai PPBM pada awal tahun ini.
Mustapa bersama Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) berhijrah pada 2018.