
“Kita dah ada terlampau banyak (agensi). Jika ia berfungsi dengan baik, tidak akan ada masalah,” kata presiden MNS Ahmad Ismail.
Ahmad merujuk cadangan pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago untuk menubuhkan sebuah badan khas seperti Pihak Berkuasa Perlindungan Sungai Kebangsaan bagi menyelaras agensi serta jabatan berkaitan kes pencemaran sungai.
Santiago berkata, tidak wujud komitmen untuk memantau dan mengawal agensi berkaitan apabila kejadian sedemikian berlaku.
Beliau berkata, 98% air mentah yang dirawat berpunca dari sungai.
“Jika isu pencemaran tidak diatasi, kos merawat air sungai akan meningkat dan ini akan menyebabkan tarif air juga bertambah,” katanya.
Ahmad berkata, sungai dan tanah adalah hak milik negeri, justeru struktur di peringkat negeri perlu diperkuatkan.
Katanya, Selangor sudah pun mempunyai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat keperluan untuk menganalisis fungsi semua jabatan berkaitan pengurusan dan pencemaran sungai.