Operasi SAR 2 warga Singapura hilang ketika berkayak di Endau-Mersing diperluas

Operasi SAR 2 warga Singapura hilang ketika berkayak di Endau-Mersing diperluas

Kawasan pencarian 2 warga Singapura yang hilang ketika berkayak kini merangkumi utara Pulau Seri Buat, Pahang sehingga barat laut Pulau Tioman.

Pengarah Maritim Johor Aminuddin Abdul Rashid (3 dari kiri) melihat peta lokasi pencarian 2 warga Singapura yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing. (Gambar Maritim Malaysia)
JOHOR BAHRU:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 2 warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Endau-Mersing, Khamis lalu, diperluaskan kepada 500 batu nautika persegi hari ini.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing, Komander Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata kawasan pencarian kini merangkumi bahagian utara Pulau Seri Buat, Pahang sehingga barat laut Pulau Tioman.

Beliau berkata operasi SAR melibatkan kekuatan 50 anggota SAR dari pelbagai agensi serta bantuan helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata anggota SAR berdepan dengan cabaran apabila berdepan dengan keadaan tiupan angin antara 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak antara satu hingga 1.5 meter di kawasan perairan Timur Johor hari ini.

Ia diburukkan lagi dengan keadaan jerebu yang sedang melanda perairan Johor yang menjejaskan jarak penglihatan pasukan penyelamat di lautan, katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Johor, Aminuddin Abdul Rashid, dalam satu kenyataan berkata, satu sesi taklimat dan soal jawab diadakan antara pihaknya, Konsulat Singapura ke Johor, Rajpal Singh dan ahli keluarga kedua-dua mangsa, hari ini.

Ia bagi memberi penjelasan mengenai misi mencari dan menyelamatkan mangsa, katanya.

Mangsa, dikenali sebagai Tan Eng Soon, 62, (lelaki) dan Puah Geok Tin, 57 tahun (wanita), dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki terpisah dengan 13 lagi rakan mereka yang sedang berkayak dari Endau-Mersing menuju ke Pulau Mertang, kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu.

Mereka dikatakan terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.