Keluarga anggota tentera hilang mohon bawa pulang barangan peribadi

Keluarga anggota tentera hilang mohon bawa pulang barangan peribadi

Kerajaan Sarawak sedia membantu menanggung kos penerbangan dari Kuching ke Langkawi, termasuk keperluan logistik keluarga mangsa.

David Edmund Rapi dari Dalat dan Moses Logers, dari Bau, daripada Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja dilaporkan hilang ketika mengikuti operasi di Pulau Perak, Kedah sejak 20 Julai lalu.
KUCHING:
Kerajaan negeri Sarawak memohon kelulusan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk membenarkan ahli keluarga 2 anggota tentera dari Sarawak yang hilang dalam operasi di Pulau Perak, Kedah, mengambil barangan mangsa untuk dibawa pulang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Fatimah Abdullah berkata, beliau berharap Mindef akan memberi perhatian kepada permintaan keluarga Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers.

David, 39, berasal dari Dalat dan Moses, 25, dari Bau, dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD), yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis dilaporkan hilang ketika mengikuti operasi di Pulau Perak, sejak 20 Julai lalu.

Pulau Perak terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

“Hal ini masih lagi dalam proses perbincangan dan selagi tidak mendapat kelulusan pihak Mindef, kita tidak boleh membenarkan keluarga mangsa pergi ke kem tempat mangsa bertugas untuk mengambil barangan mangsa,” kata Fatimah ketika ditemui oleh pemberita pada majlis pengagihan daging sempena Hari Raya Aidiladha di Surau Darul Muallimin, Taman Desa Guru, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membantu menanggung kos penerbangan dari Kuching ke Langkawi, termasuk keperluan logistik untuk keluarga mangsa sekiranya proses permohonan tersebut telah diluluskan.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan 2 anggota tentera itu ditamatkan Selasa lalu selepas tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad selepas 72 jam operasi dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.