Polis tidak tutup siasatan kes tembak cermin pejabat Umno Pekan, kata JSJ Pahang

Polis tidak tutup siasatan kes tembak cermin pejabat Umno Pekan, kata JSJ Pahang

Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian tembakan ke cermin tingkap pejabat Umno Pekan.

Menurut polis setakat ini 12 saksi dipanggil berhubung kejadian kesan tembakan di tingkap pejabat Umno Pekan, tetapi tidak mendapat sebarang petunjuk mengenai pihak yang mungkin terlibat.
PETALING JAYA:
Polis tidak pernah menutup kertas siasatan membabitkan lubang dipercayai kesan tembakan yang disasarkan ke Pejabat Umno Pekan, pada 12 November 2017, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang.

Othman Nanyan berkata, polis mengalu-alukan orang ramai memberikan maklumat jika mempunyai pengetahuan berhubung kejadian itu, memandangkan kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

“Kita tidak akan tutup kes, ia tidak selesai. Ketika ini, kita klasifikasikan kes berkenaan sebagai “pending until further information”. Dari aspek siasatan, kita dapati memang ada kesan lubang yang dipercayai kesan tembak.

“Siasatan forensik dan siasatan di tempat kejadian tidak menemukan anak peluru. Kes ini kita masih tidak dapat “narrow down” kepada pelaku perbuatan tembak.

“Walaupun kita sudah gunakan pelbagai elemen, termasuk bawa ahli kimia ke tempat kejadian,” katanya kepada FMT, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mempersoalkan motif bekas perdana menteri Najib Razak yang mendedahkan bahawa beliau menjadi sasaran penembak tepat di Pekan pada 2017.

Muhyiddin berkata, jika benar laporan polis dibuat, sudah tentu kerajaan tidak akan memandang ringan kejadian membabitkan pemimpin negara.

Ketua JSJ Pahang Othman Nayan.

Najib dalam satu program wacana anjuran Umno baru-baru ini mendakwa, tembakan itu disasarkan pada bahagian tepi cermin bilik pejabatnya di tingkat 5 bangunan Umno Bahagian Pekan.

Beliau turut memuat naik salinan laporan polis dan gambar lubang yang dipercayai kesan tembakan peluru di tingkap.

Othman berkata, sehingga kini sebanyak 12 saksi sudah dipanggil untuk dirakamkan keterangan berhubung kes itu, namun masih tidak memberikan sebarang petunjuk kepada polis untuk mengenal pasti pihak yang mungkin terlibat melakukannya.

“Kita tidak tahu bila kejadian berkenaan berlaku. Kita hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas laporan dibuat pada 13 November 2017. Selepas itu baru kita tahu kejadian itu. Kertas siasatan hanya digunakan untuk proses dalaman sahaja memandangkan kes ini tidak ada tangkapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.