
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan tarikh tentatif 6 Januari 2020, untuk memulakan perbicaraan kes tersebut setelah pendakwa raya fiat Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menjalankan perbicaraan di mahkamah berkenaan.
“Kami tidak menerima arahan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Peguam Riza, Hariharan Singh juga berkata, mereka tidak mendapat arahan untuk memindahkan kes pengubahan wang itu ke Mahkamah Tinggi.
Justeru mahkamah menetapkan 6 hingga 9 dan 13 hingga 16 Januari sebagai tarikh perbicaraan tentatif.
Sebutan kes berikutnya ditetapkan ada 20 Sept.
Sri Ram juga memberitahu hakim bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen perbicaraan kepada peguam Riza.
“Kami dalam proses mendapatkan lebih banyak dokumen dari Amerika Syarikat dan memerlukan masa sebulan untuk mendapatkannya,” kata beliau.
Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib kemudiannya memberitahu pemberita bahawa mereka sedang berusaha mendapatkan dokumen daripada bank AS yang disebut dalam kertas pertuduhan Riza.
Katanya, pihak pendakwa telah menyerahkan beberapa penyata bank asing kepada peguam Riza.
Riza meminta dibicarakan terhadap 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta bulan lepas kerana didakwa menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd.
Dua syarikat itu dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho.
Beliau didakwa menerima wang tersebut antara April 2011 dan Nov 2012 di City National Bank di Los Angeles, California serta di BSI Bank di Temasek Boulevard, Singapura.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, Riza boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai aktiviti haram terbabit, yang mana lebih tinggi.